Berita

Post-mortem atlet Malaysia di Sukan Olimpik: Lapan dapatan akan dikaji, ditambah baik

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 18 Disember 2024 10:40 AM MYT

KEKURANGAN ahli psikologi berpengalaman untuk menangani tekanan, kebimbangan dan cabaran emosi atlet merupakan salah satu isu dikenal pasti melalui post-mortem penglibatan kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), isu itu antara lapan dapatan yang akan dikaji dan ditambah baik oleh Majlis Sukan Negara (MSN) mulai tahun depan.

Jelasnya, untuk itu dicadangkan supaya jurulatih turut bertanggungjawab terhadap pengurusan psikologi selain aspek teknikal.

“Selain itu aplikasi sains sukan dalam program latihan masih tidak dilaksanakan sepenuhnya di mana atlet kebangsaan tidak mempunyai akses mudah untuk perkhidmatan seperti biomekanik, fisiologi, analisis sukan dan pemakanan.

“Keadaan ini mengehadkan keupayaan mereka untuk mencapai prestasi optimum. Sebagai langkah penambahbaikan, pelan strategik yang dirangka untuk setiap sukan perlu merangkumi elemen sains sukan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai dapatan hasil post-mortem kontinjen Malaysia dalam Sukan Olimpik 2024 yang diadakan pada 14 November lalu.

KBS menambah, kebergantungan kepada jurulatih luar negara juga menjejaskan pembangunan serta kompetensi jurulatih tempatan.

Justeru katanya, sistem dan struktur pembangunan jurulatih berprestasi tinggi diwujudkan di kalangan jurulatih tempatan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Isu lain jelasnya, adalah kebergantungan kepada dana kerajaan oleh persatuan-persatuan sukan kebangsaan menyebabkan program tidak dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan menyeluruh.

“Kajian semula berhubung keperluan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk sukan yang menyumbang satu pingat untuk seorang atlet sahaja seperti berbasikal.

“Sukan seperti akuatik (renang dan terjun), para olahraga, powerlifting yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat wajar diberikan keutamaan dalam aspek pembangunan dan pelaburan.

“Post-mortem juga mendapati kekurangan atlet wanita yang layak ke Sukan Olimpik dan Paralimpik. Cadangan supaya memperkukuh dan mempertingkatkan program pembangunan atlet-atlet wanita,” katanya.

Sementara itu tambah KBS, kementerian bersama-sama pemegang taruh termasuk persatuan sukan kebangsaan perlu merangka persiapan awal bagi memastikan sasaran pingat berjaya dicapai di temasya akan datang.

“Akhir sekali, kurangnya semangat patriotisme dalam kalangan atlet negara. Modul patriotisme untuk semua atlet elit perlu disediakan dengan mengambil kira landskap industri sukan semasa,” katanya.

Terdahulu KBS mengakui bahawa sasaran pingat emas yang ditetapkan sebelum ini masih belum berjaya dicapai.

“Tetapi, prestasi yang ditunjukkan oleh atlet-atlet negara bukanlah yang terburuk. Kesungguhan dan keazaman yang ditunjukkan oleh para atlet dalam mengharumkan nama negara di pentas tertinggi sukan dunia haruslah kita semua hargai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas