DARIPADA bergelar Profesor Universiti beliau terjun ke gelanggang politik dan kini bergelar Yang Berhormat (YB), Dr Abdul Aziz Bari.
Beliau sebelum ini merupakan pakar rujuk undang-undang dan perlembagaan sudahpun memahami sepak terajang dunia politik.
Biarpun dihujani pelbagai sindiran mahupun kritikan, malah lebih daripada itu termasuklah makian dan penghinaan berikutan jalan yang dimudik berlawanan dengan ideologi kebanyakan orang, Abdul Aziz beranggapan ia perkara biasa dan tidak pernah sedikitpun berkecil hati.
Baginya, politik moden adalah umpama pasukan bola, ia bukan badminton atau tenis. Ia kerja berpasukan dan untuk memperjuangkan masalah dan kebajikan rakyat, ia harus dilakukan secara berkumpulan.
Walaupun keutamaannya kini adalah kebajikan rakyat selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, beliau boleh menyesuaikan diri sekali gus menjadi tulang belakang kepada golongan yang memerlukan.
Wartawan Wilayahku, AZLAN ZAMBRY, berpeluang mendengar sendiri aspirasi Abdul Aziz yang berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi untuk penggal kedua dengan majoriti 660 undi sekali gus menepis tanggapan bahawa ahli akademik sepertinya adalah golongan elitis yang tidak pandai bergaul dengan orang ramai.
Bagaimanakah pengalaman sebagai ahli akademik mempengaruhi pendekatan YB terhadap politik dan tadbir urus? Adakah YB lebih berpuas hati menjadi ahli politik dan wakil rakyat berbanding kerjaya akademik sebagai Pensyarah Kanan?
Kuncinya ialah menyesuaikan diri dan disiplin kerja. Saya terpaksa terjun ke gelanggang politik setelah dihalau dari universiti, jadi saya terpaksa belajar di dunia yang baru. Bagi saya, hidup ini satu cabaran dan sekiranya kita gagal membuat penyesuaian, kita akan tenggelam. Dalam politik ini memerlukan pengorbanan yang besar dari aspek masa dan saya perlu melaluinya. Berbanding di universiti, tugas saya adalah untuk mendidik, namun dalam politik dan kini wakil rakyat, saya perlu bersama-sama dengan rakyat.
Sebagai pakar undang-undang perlembagaan, bagaimanakah YB menilai prestasi keseluruhan ahli politik Malaysia dalam memahami dan menegakkan perlembagaan persekutuan?
Apa yang kita lihat sekarang ialah work in progress, kalau kita terlalu rigid dan tidak mengambil kira realiti masyarakat yang tidak sempurna sudah tentu kita akan kecewa dan perubahan tidak akan berlaku.
Kita harus sabar, tetapi dalam masa sama juga harus memegang kepada prinsip. Contohnya masyarakat atau mungkin parti yang kita naungi sendiri mungkin gagal untuk meneruskan komited dengan integriti, itu sebagai contoh tetapi kita harus terus komited kerana jika pun sama maka proses perubahan yang ideal itu sampai bila pun tidak akan berlaku. Namun saya yakin, pemahaman wakil rakyat terhadap perlembagaan persekutuan itu perlu ditingkatkan kerana setiap tindakan mereka berada di dalam ruang lingkup itu.
Penafsiran Perlembagaan Persekutuan dalam dunia nyata itu luas dan kita tidak boleh rigid begitu, namun kita perlu bercakap dalam bahasa yang difahami oleh rakyat dan ia tidak terlalu sukar sekiranya pemimpin yang dipilih memahami penafsiran dan mendidik rakyat mengenainya.
Apakah cabaran paling ketara yang pernah YB hadapi sejak beralih daripada akademik kepada politik? Bagaimanakah YB mengatasinya?
Dalam apa jua bidang sekalipun, cabaran utama ialah berhadapan dengan faktor-faktor yang berusaha menggagalkan idea kita dan perlu bersabar. Dalam politik kita perlu cepat bertindak, tidak boleh bertangguh-tangguh dan tidak boleh rigid. Selain itu, kita juga perlu kreatif kerana isu politik ini pelbagai. Kalau kita bawa budaya dan cara kerja akademik, kita tidak gagal dalam politik.
Bolehkah YB berkongsi beberapa pencapaian YB yang paling penting dan apa-apa penyesalan yang mungkin YB alami sepanjang tempoh sebagai ahli politik?
Realiti politik ialah kita harus bersama parti dan parti mungkin berhadapan dengan situasi mencabar yang melibatkan pilihan yang sukar. Tetapi ini tidak harus melupakan kita kepada matlamat asal membaca perubahan yang mendasar ke arah yang lebih baik.
Bagaimanakah YB bekerja untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai dan memastikan ketelusan dalam peranan sebagai ADUN?
Bagi saya, untuk mengekalkan kepercayaan orang ramai, khususnya kepada pengundi di Dun Tebing Tinggi ini adalah melalui komunikasi yang mudah dan berkesan. Selain itu, saya bersyukur kerana turut mempunyai pasukan yang gigih dan komited dalam menyelesaikan masalah mahupun aduan yang dikemukakan.
Di peringkat Dun ia lebih bertumpu kepada komuniti yang kecil dan masalah yang bersifat tempatan. Kita juga perlu responsif dan dalam politik semasa di mana kita bekerja dalam pasukan kita perlu berperanan sebagai ahli pasukan bukan sebagai individu. Politik moden adalah umpama pasukan bola, ia bukan badminton atau tenis.
Apakah keutamaan dasar utama YB untuk Tebing Tinggi dan bagaimana YB merancang untuk menanganinya?
Realiti politik ialah bahawa kita hanyalah pemain di dalam satu pasukan. Ia perlu diputuskan secara berpasukan meskipun faktor peribadi calon ada juga pengaruhnya.
Bagaimanakah YB mengimbangi tanggungjawab sebagai ahli politik dengan latar belakang dan minat berterusan YB dalam bidang akademik?
Latar belakang akademik tidak boleh dibesar- besarkan kerana kita perlu juga sifat yang merendah diri dan memastikan masyarakat ada akses kepada kita. Membesar-besarkan latar belakang akademik boleh memberi mesej yang salah dan akan ada dalam kalangan masyarakat yang melihat kita sebagai elitis. Pendek kata akademik itu sudah jadi soal peribadi tidak terlalu relevan dalam rutin seharian saya walaupun ia satu aset yang berguna, sesuatu yang menyebabkan orang menghormati kita.
Bolehkah YB berkongsi detik yang menggembirakan semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat?
Apabila terjun ke dalam bidang politik, ia memerlukan kekuatan kerana ia mungkin agak asing bagi ahli akademik. Di kampus, aktiviti seharian dipenuhi dengan perbincangan ilmu, wacana ilmiah malah mengajar siswa dan siswi. Antara perkara yang saya ingati adalah, apabila sesetengah rakan akademik terkejut melihat kemampuan kita untuk bercampur dengan pelbagai lapisan masyarakat: sesuatu yang sebelum ini mereka anggap mustahil disebabkan karakter dan watak saya di kampus dahulu.
Apakah keputusan paling sukar yang YB terpaksa buat sebagai ahli politik dan apakah akibatnya?
Saya rasa itu tidak pernah berlaku kerana Pakatan Rakyat dan kemudian Pakatan Harapan adalah komuniti politik yang realistik meskipun kita punya ideal tertentu yang hendak dicapai. Ini adalah kelebihan berada dalam kelompok reformasi, di mana politik ialah satu cara untuk menyumbang dan berkhidmat.
Apakah visi YB untuk masa depan Tebing Tinggi dan Malaysia secara keseluruhannya? Bagaimanakah YB melihat peranan peribadi dalam mencapai visi tersebut?
Nampaknya setelah dua tahun ini kita berada pada landasan yang betul dan mudah-mudahan ia berterusan begitu sekali gus dapat melahirkan masyarakat yang adil dan demokratik yang dihormati di seluruh dunia. Selain itu, kita juga mesti secara peribadi mempamerkan sikap itu.