SYARIKAT pembekal tempatan boleh mengurangkan risiko daripada polisi ‘America First’ oleh Donald Trump melalui peluang perniagaan dengan rakan-rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia yang lain dalam urus niaga dengan Amerika Syarikat (AS).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, ini juga bagi meningkatkan daya saing eksport bagi tempoh pentadbiran yang akan datang bermula 2025 apabila Trump mengutamakan polisi berkenaan.
Menurutnya, sejajar dengan visi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), syarikat-syarikat Malaysia juga disaran meningkatkan rantaian nilai industri dengan mempertingkat aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Melalui kolaborasi dengan pemain industri utama khususnya dari AS, ia mampu meningkatkan keupayaan industri tempatan dalam inovasi mikrocip serta membangun teknologi baru dalam sektor-sektor seperti kecerdasan buatan (AI) dan 5G yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran global.
“Justeru kerajaan yakin bahawa ketegasan Malaysia sebagai negara yang neutral dan berkecuali mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan AS secara menyeluruh,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
MITI menjawab soalan Senator RA Lingeshwaran mengenai impak yang bakal dimanfaatkan oleh negara dengan kejayaan Trump dalam memenangi pilihan raya Presiden AS.
Kementerian itu menambah, dengan cara itu, AS akan memberikan galakan kepada syarikat-syarikat miliknya untuk terus melabur di negara ini sebagai langkah pengurangan risiko terhadap ketegangan geopolitik yang berlaku.
“Ini secara tidak langsung menjadikan Malaysia kekal positif, didorong oleh asas yang kukuh melalui penerapan arah aliran global yang sangat menggalakkan,” katanya.
MITI berkata, berdasarkan tempoh pentadbiran pertama Trump iaitu pada 2017 hingga 2020, statistik eksport sektor elektrikal dan elektronik Malaysia ke pasaran global tidak terjejas, malah mencatatkan peningkatan sebanyak 12.6 peratus dalam tempoh empat tahun pentadbiran beliau.
Eksport semikonduktor katanya, turut merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 34.2 peratus dalam tempoh sama.
“Berdasarkan maklum balas daripada industri, perang perdagangan di antara AS dengan China lebih memberi faedah kepada Malaysia memandangkan Malaysia mengambil pendekatan neutral dan seimbang dalam memanfaatkan peluang perniagaan dari kedua-dua negara,” tambahnya. – WILAYAHKU