Artikel

Polis terlibat jenayah

- Diterbit 5 Oktober 2023 6:39 AM MYT

SEJUMLAH 18 orang pegawai dan anggota polis kontinjen Kuala Lumpur dibuang kerja kerana kesalahan berkaitan dadah, jenayah serta tidak hadir bertugas dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, dalam tempoh sama juga enam anggota diturunkan pangkat. Selain itu Jabatan Integriti dan Pematuhan juga telah membuka sebanyak 157 kertas siasatan.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, ini perkembangan yang merisaukan. Polis yang sepatutnya menjadi benteng hadapan mempertahan undang-undang serta memerangi jenayah dan dadah sebaliknya terlibat pula dengan kegiatan tersebut.

Mungkin jumlah yang terlibat tidak ramai berbanding keseluruhan jumlah pegawai dan anggota kontinjen polis Kuala Lumpur, tetapi perbuatan negatif segelintir mereka mencemar nama baik pasukan keseluruhannya.

Selain itu, ia merosakkan nama baik diri sendiri serta menjejaskan nama baik keluarga. Nama yang sudah tercalar bukan mudah digilap semula, malah boleh memberi kesan jangka panjang dalam kehidupan.

Kawan-kawan Kedai Kopi sedar anggota polis adalah juga manusia biasa seperti orang lain. Kerana itu mereka juga melakukan kesalahan dan kesilapan. Mungkin kerana terdedah kepada godaan yang sukar ditangkis dalam proses menjalankan tugas.

Tetapi harus diingat, orang ramai meletakkan harapan agar polis berintegriti tinggi sebagai pelindung undang-undang. Kerana itu mereka tidak harus mudah terjebak ke dalam kancah jenayah, dadah atau aktiviti lain yang bertentangan dengan undang-undang.

Semoga tindakan tegas yang diambil ke atas segelintir pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada anggota lain agar tidak melakukan kesalahan sama. Bertugaslah dengan jujur dan amanah, jadikan ia pegangan dalam kehidupan seharian. Insya-Allah selamat.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas