POLIS menembak mati seorang suspek dipercayai terlibat dalam kejadian samun dalam satu kejadian berbalas tembakan di susur masuk ke Tol Sungai Balak, Lebuh Raya SILK, Kajang, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata insiden berlaku kira-kira pukul 3 petang itu ketika sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang sedang melakukan rondaan di kawasan Kajang.
“Dalam kejadian tersebut, suspek eggan berhenti dan telah melepaskan tembakan ke arah pihak polis menyebabkan kejadian membalas tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan dalam kejadian tersebut.
“Dalam kejadian ini juga seorang anggota polis telah terkena tembakan dilepaskan suspek namun tidak mengalami kecederaan kerana memakai baju kalis peluru,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, suspek merupakan seorang lelaki tempatan dan berusia dalam pertengahan 30-an serta mempunyai enam rekod jenayah samun.
“Suspek juga dipercayai terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu,” ujarnya.
Tegasnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – WILAYAHKU