POLIS menahan seorang wanita berusia 41 tahun kelmarin selepas didakwa mengabaikan dan mengurung dua anak lelakinya yang berusia satu dan enam tahun di sebuah rumah dekat Ampang, Selangor.
Ketika kedua-duanya diselamatkan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada 7 Oktober lalu, si ibu dikatakan sudah dua hari tidak pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam yang memaklumkan dua kanak-kanak itu terkurung di dalam rumah kerana ibu mereka sudah lama tidak pulang.
“Kanak-kanak lelaki itu telah dibawa ke Hospital Ampang bagi pemeriksaan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan parut lama dan baru di seluruh badan.
“Wanita tersebut ditahan di Pudu, Kuala Lumpur. Suspek mempunyai satu rekod jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Azam berkata, perintah tahanan reman ke atas suspek diperoleh selama tujuh hari sehingga 16 Oktober ini.
Katanya, siasatan masih dijalankan untuk kenal pasti motif.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)/33 Akta Kanak-Kanak 2001 merujuk kepada penderaan dan pengabaian kanak-kanak,” katanya. – WILAYAHKU