Berita

Polis tahan 5 lelaki terlibat kes gaduh

- Diterbit 17 Disember 2024 1:57 PM MYT

POLIS menahan lima lelaki dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan yang menyebabkan tiga individu cedera parah di hadapan sebuah bangunan di Jalan Yap Kwan Seng pada 15 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 4.03 pagi.

Beliau berkata pergaduhan berpunca daripada salah faham membabitkan empat hingga lima lelaki, sebelum seorang daripada mereka bertindak mengeluarkan pisau lipat dan melibas mangsa.

“Akibat tindakan tersebut, seorang lelaki mengalami luka dan kesan kelar di bahagian lengan kiri manakala mangsa kedua cedera di bahagian muka belah kiri daripada kening hingga bibir.

“Mangsa ketiga pula luka di bahagian kepala dan menerima 10 jahitan. Kesemua mangsa telah dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sulizmie, susulan itu, pihak polis telah menahan seramai lima warga tempatan berusia antara 22 hingga 30 tahun antara pukul 12.30 tengah malam tadi hingga 3 pagi ini di sekitar Puchong, Selangor bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya dan lain-lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas