Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

Polis siasat kes khianat dan ugutan bunuh Ahli Parlimen DAP

- Diterbit 27 Jun 2024 1:30 PM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan berhubung kes khianat dengan ‘molotov cocktail’ melibatkan rumah Ahli Parlimen Beruas bersabit laporan polis yang dibuat.

Katanya kes itu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) Perak untuk pandangan dan pertimbangan.

“Bagi siasatan kes ancaman bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, pihak PDRM telah menerima laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu Ugutan Jenayah dan masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) yang bertanya mengenai hasil siasatan kes dan pendakwaan terhadap suspek yang melakukan jenayah ancaman keselamatan terhadap pemimpin politik iaitu kes serangan ‘molotov cocktail’ di kediaman Ahli Parlimen Beruas dan ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh.

Menurut Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menerajui aspek keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam memainkan peranan amat penting untuk menyediakan platform yang selamat dan aman.

“Ia bagi menyokong pembangunan Negara berlandaskan Nilai Ihsan, Kesejahteraan, Keyakinan dan Kemampanan demi memastikan hasrat Agenda Malaysia MADANI dicapai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas