POLIS sedang menyiasat insiden kekecohan membabitkan penyitaan barangan penjaja tanpa lesen oleh anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata pihaknya menerima laporan daripada anggota penguat kuasa DBKL pada 29 Mac berhubung kejadian berkenaan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Polis akan menyiasat dengan telus dan adil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 42 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook, Ratu Naga, menunjukkan kekecohan berlaku ketika anggota DBKL menyita barangan seorang penjaja belon.
Rakaman itu turut memaparkan pergelutan antara penjaja dan anggota DBKL, selain beberapa penjaja lain yang dipercayai mencetuskan provokasi terhadap tindakan penguatkuasaan.
Sulizmie Affendy berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.-WILAYAHKU