Berita

Polis sahkan berlaku insiden provokasi di sebuah IPD di Pantai Timur – Ayob Khan

- Diterbit 12 Ogos 2023 5:59 AM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan terdapat insiden provokasi berlaku di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Pantai Timur seperti yang tular di media sosial semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata PDRM sedang menyiasat penularan video seorang lelaki dikasari beberapa lelaki di IPD tersebut.

“Saya sahkan insiden itu berlaku di sebuah IPD di Pantai Timur dan kita masih jalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

“Mungkin ada provokasi berlaku sebelum kejadian berkenaan dirakam dan ketua polis negeri terbabit akan mengadakan sidang media berhubung insiden berkenaan,” katanya dalam sidang media khas selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Klang Gate di sini, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bermotosikal memakai bendera PAS di belakang badannya telah dikasari beberapa lelaki di hadapan pintu masuk sebuah IPD di sebuah negeri di Pantai Timur tular di media sosial hari ini.

Rakaman video berdurasi 14 saat itu memaparkan lelaki terbabit ditarik dari motosikalnya dan dipukul kumpulan lelaki berkenaan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas