POLIS menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar susulan penahanan seorang lelaki warga asing menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di ibu negara semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek dipercayai membawa spesies hidupan liar yang terkawal itu dari sebuah negara di Asia Selatan.
Menurut beliau, dalam operasi itu, pihaknya merampas 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura jenis India Eyed Turtle bernilai lebih RM1.8 juta.
“Hidupan liar itu dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dihantar ke negara lain.
“Tangkapan ini juga dipercayai melibatkan sindiket penyeludupan hidupan liar yang aktif di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, spesies tangkapan tersebut mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran gelap.
“Harga jualan bagi seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000 manakala kura-kura jenis Indian Eyed Turtle bernilai RM1,350 seekor,” katanya.
Beliau memberitahu, secara keseluruhan bagi tempoh 1 Januari hingga 17 September, pihaknya berjaya melancarkan 135 serbuan di seluruh negara dan menahan seramai 384 orang atas pelbagai kesalahan melibatkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi serta penyeludupan hidupan liar.
Nilai rampasan secara keseluruhan dianggarkan lebih RM420 juta bagi tempoh terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 68 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 69 (1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. – Metra Syahril/WILAYAHKU