Berita

Polis mohon sambung reman ibu bapa Zayn Rayyan

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 6 Jun 2024 3:01 PM MYT

POLIS akan memohon sambungan reman ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu, esok.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi hari ini berkata pihaknya akan membuat permohonan itu berikutan tempoh reman pasangan berkenaan tamat pada Jumaat.

Ibu bapa kanak-kanak itu direman tujuh hari bermula 1 Jun hingga esok bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan, 6, ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai, Petaling Jaya dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas