LABUAN – Tindakan tujuh nelayan asing menangkap ikan di perairan Labuan secara haram akhirnya memakan diri apabila mereka dicekup pasukan Polis Marin semalam.
Dalam Ops Gelora itu, dua warga Filipina didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri selain menjalankan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran.
Komander Polis Marin Wilayah 4, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, penangkapan itu dilakukan selepas mereka didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram pada pukul 2 petang.

Katanya, nelayan itu juga menggunakan jaring kurang daripada 38 millimeter (mm) yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 26 (b) Akta Perikanan 1985 di kawasan Laut Jahat Shoal, perairan Malaysia.
“Kami merampas kapal pukat tunda mereka dengan enjin dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan laut bernilai RM240,000,” katanya.
Kedua-dua warga Filipina berumur 20 dan 32 tahun itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.
Kes-kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen. – WILAYAHKU