POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip saman trafik berjumlah lebih RM9 juta sepanjang tiga hari penganjuran Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang telah diadakan baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah kutipan berkenaan melibatkan penyelesaian sebanyak 103,590 saman trafik tertunggak.
“Bagi tempoh tiga hari bermula 22 hingga 24 November lalu, sebanyak 103,590 saman telah dijelaskan berjumlah RM9,139,750 melalui saluran bayaran saman yang telah disediakan antaranya kaunter PDRM secara tunai dan e-payment melalui baucar yang diselesaikan melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri berkata kesemua saman yang diselesaikan merangkumi pelbagai kesalahan seperti memandu melebihi had laju, melanggar isyarat lalu lintas serta menghalang laluan trafik yang merekodkan jumlah saman tertinggi.
“Kita tidak menetapkan sebarang kutipan, namun amat berbangga dengan sambutan luar biasa daripada 32,500 individu yang hadir untuk melangsaikan saman mereka.
“JSPT menghargai kerjasama orang ramai yang hadir dalam menyelesaikan saman tertunggak bersempena dengan 2TM. Kami juga menyeru orang ramai agar tidak menunggu sehingga tawaran diskaun diumumkan untuk menjelaskan saman mereka,” katanya.
Beliau berkata jumlah kutipan saman bukan keutamaan JSPT, sebaliknya yang lebih membanggakan ialah kesedaran orang ramai yang semakin tinggi untuk menyelesaikan saman masing-masing.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata JSPT dalam peringkat kajian untuk memperluas program pengurangan saman di seluruh negara secara tanpa tunai dengan memanfaatkan aplikasi MyBayar PDRM, di samping meningkatkan jumlah pengguna berdaftar aplikasi berkenaan. – WILAYAHKU