Berita

Polis kesan suspek lompat landasan monorel

TANGKAP layar seorang lelaki bertindak melompat melintasi landasan monorel di Stesen Monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
- Diterbit 27 September 2024 3:13 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mengesan seorang lelaki yang bertindak melompat ke landasan monorel di Stesen Monorel Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, ia selepas laporan berkaitan kejadian itu dibuat oleh polis bantuan Prasarana kelmarin.

Menurutnya, siasatan dibuat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (Pencerobohan).

“Pada 24 September lalu, kira-kira pukul 11.35 malam, terkesan satu video berdurasi empat saat dimuat naik pemilik akaun media sosial.

“Ia memaparkan seorang lelaki sedang melompat melintas landasan monorel di Bukit Bintang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, usaha mengesan suspek telah dibuat oleh polis bantuan Prasarana namun gagal.

Jelas beliau, pencerobohan ini dilakukan oleh seorang lelaki yang indetitinya masih belum dikenal pasti.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas