Berita

Polis Johor tahan pemilik Hejira Travel

- Diterbit 20 Januari 2025 7:08 PM MYT

PASANGAN suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd ditahan polis Johor pada Sabtu lalu berhubung satu lagi kes penipuan yang dilaporkan di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pasangan tersebut ditangkap kelmarin selepas dibebaskan dengan jaminan oleh Polis Kontinjen Selangor selepas tamat tempoh reman di sana.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan kes penipuan pakej umrah yang dilaporkan di Johor. Setakat ini, sembilan laporan polis diterima melibatkan kerugian berjumlah RM174,080,” katanya dalam kenyataan hari ini.

M Kumar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebatan serta denda.

“Kedua-dua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk nasihat selanjutnya.

“Pihak polis menyeru dan memasihatkan orang ramai untuk membuat semakan dengan agensi berkaitan sebelum menggunakan mana-mana syarikat pengendali umrah bagi memastikan syarikat berkenaan dilesenkan dan mempunyai rekod pengendalian yang baik,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat Hejira Travel & Tours Holding Sdn Bhd, direman selama tiga hari berkaitan dakwaan kes penipuan pakej umrah. Sebanyak lapan laporan polis telah diterima dan jumlah semua mangsa dianggarkan seramai 379 orang dengan anggaran kerugian sebanyak RM2.1 juta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas