POLIS buru suspek yang terlibat memecahkan cermin enam buah kereta di tepi jalan kawasan transit aliran ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban berkata pihak polis menerima laporan pada selasa lalu pukul 9.20 pagi berhubung kes cermin kereta dipecahkan.
“Hasil semakan mendapati kesemua enam kereta in telah diparkir oleh pemilik kenderaan pada Isnin lepas bermula pukul lebih kurang 3 petang di tepi jalan kawasan LRT tersebut.
“Seterusnya, beberapa bahagian cermin kereta telah dipecahkan oleh suspek yang masih bebas sebelum disedari oleh pemilik kenderaan pada keesokan hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian tersebut.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana orang yang gagal mematuhi undang-undang negara dan tindakan tegas akan diambil agar masyarakat sentiasa berada di dalam keadaan aman dan tenteram.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya. – WILAYAHKU