POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan anak penyanyi kumpulan Spider, Rustam Mustafah dan pelajar lain.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, setakat ini lima laporan polis diterima pihaknya berkaitan isu tersebut.
Menurut beliau, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kita sudah merakam percakapan mangsa dan kes masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Terdahulu Rustam atau Tam, 51, mendedahkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di sebuah sekolah berasrama di Kuala Lumpur.
Beliau turut melahirkan rasa kesal dan mendakwa sekolah berkenaan gagal mengambil tindakan terhadap masalah buli di sekolah itu.
Dakwanya, bukan saja anaknya tetapi beberapa pelajar lagi turut menjadi mangsa buli pelajar senior. – WILAYAHKU