Berita

Polemik UiTM: Fahami dengan teliti objektif penubuhan sebelum beri pendapat

- Diterbit 24 Mei 2024 9:20 AM MYT

POLEMIK mengenai cadangan kemasukan bukan Bumiputera ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilihat sebagai cubaan untuk memberikan gegaran kepada kedudukan dan juga keharmonian kaum terutama melibatkan kefahaman terhadap struktur perlembagaan.

Pemerhati politik dan Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM, Dr Abdul Aziz Azizam menegaskan bahawa semua pihak telah sedia maklum bahawa matlamat penubuhan UiTM di bawah Perlembagaan Persekutuan khusus bagi mengimbangi sosial dan ekonomi melibatkan kumpulan majoriti iaitu orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu lihat objektif UiTM adalah untuk meningkatkan keupayaan orang Melayu khususnya dari segi sektor kemampuan pendidikan dan kestabilan sosio ekonomi.

“Fungsinya sangat berat dan jelas serta jika kita tidak memelihara UiTM pada dasar dan apa yang sepatutnya seperti sekarang ini, kita akan mendapati kesukaran pada tempoh masa 20 hingga 30 tahun akan datang,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Jelas Abdul Aziz semua pihak perlu faham objektif penubuhan institusi itu terlebih dahulu dan tidak perlu diperbesarkan mengenai isu tersebut berulang kali.

“Jika kita betul-betul hendak melihat dengan isu Bumiputera dan bukan Bumiputera, kita perlu bercakap mengenai sekolah satu aliran terlebih dahulu iaitu dengan menyelesaikan perkara berkenaan di peringkat itu dahulu (sekolah satu aliran) kenapa tiba-tiba kita hendak polemikkan UiTM?,” katanya.

Justeru itu, Abdul Aziz menyarankan agar semua pihak perlu berhati-hati dan bertanggungjawab di dalam menyebut perkara-perkara yang sensitif berkenaan UiTM.

“Sebenarnya, tidak menjadi apa-apa isu tetapi saya agak terkilan beberapa warga sendiri serta kumpulan pendidik dan beberapa individu di dalam UiTM dan di luar yang memberi kenyataan-kenyataan yang seolah-oleh tidak memahami objektif dan tidak memahami tujuan dan penubuhan UiTM sendiri.

“Saya fikir mereka perlu berhati-hati sebelum melontarkan apa jua pendapat kerana ia bersifat liar tidak tidak akan memberikan manfaat kepada UiTM sendiri.

“Malah jika mereka tidak memahami objektif UiTM mengenai penubuhan dan sebagainya, bolehlah terlebih dahulu merujuk objektif itu dan meneliti terhadap keperluannya kepada negara kita,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas