PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan penanaman pokok yang ke-100 juta di Taman Herba Parlimen Malaysia pada Selasa.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberitahu majlis tersebut merupakan simbolik ke-100 juta di bawah Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025.
“Beliau menanam pokok kebangsaan Malaysia, pokok Merbau (Intsia palembanica) yang merupakan antara spesies pokok yang telah ditanam sepanjang kempen ini selain Bakau Minyak (Rhizophora apiculata), Kelempayan (Neolamarckia cadamba), Binuang (Octomeles sumatrana), Meranti Pasir (Parashorea densiflora), Nyatoh Tembaga (Palaquium leiocarpum) dan lain-lain,” tulisnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya dengan sempurnanya majlis penanaman pokok yang ke-100 juta ini juga menandakan pencapaian Program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021-2025, awal daripada sasaran yang ditetapkan.
“Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan agenda global untuk pembangunan lestari.
“Kempen ini juga adalah bukti komitmen kerajaan yang berpaksikan kepada prinsip Kemampanan dalam kerangka Malaysia MADANI. Usaha ini bertujuan untuk menyumbang kepada masa hadapan yang lebih hijau dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Program ini bukan sahaja memulihara kepelbagaian biologi yang menjadi khazanah negara malah meningkatkan kualiti persekitaran semula jadi untuk mengurangkan kesan perubahan iklim yang semakin ketara,” ujarnya.
Jelasnya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) menganggarkan akan terdapat peningkatan kawasan hutan dipulihara sebanyak 20,000 hingga 80,000 hektar menjelang 2025, bergantung kepada jarak penanaman.
“Sehingga kini Malaysia berjaya mencatatkan litupan hutan sebanyak 18 juta hektar atau 54.58 peratus daripada keluasan tanah negara selari dengan komitmen negara di Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992, iaitu memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan.
“Bersempena dengan program ini juga, Pameran Penghijauan Malaysia turut diadakan pada 9 hingga 11 Disember 2024 di Lobi Utama Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia melibatkan penyertaan lapan agensi,” katanya.
Terdahulu, kempen yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 itu turut mendapat kerjasama strategik dengan JPSM, Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung Malaysia, Jabatan Hutan Sarawak (JH Sarawak), Jabatan Perhutanan Sabah (JP Sabah), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Hijau Malaysia (YHM).
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim. – WILAYAHKU