KUALA LUMPUR – Pokok kurma yang lebih sinonim di negara Arab, kini berbuah lebat di tengah bandar raya Kuala Lumpur.
Perkara itu menyebabkan pokok kurma yang ditanam secara ‘segera’ oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tahun lalu di kawasan Masjid India ini menjadi tumpuan ramai.
Pohon tersebut kini menarik perhatian warga sekeliling yang teruja untuk merasai kemanisan buah tersebut lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A. Dahlan meluangkan waktu meninjau pokok kurma tersebut dan meneliti buah yang telah dihasilkan pada musim ini.
Pun begitu, menerusi perkongsian di laman Facebook DBKL, orang awam diingatkan agar tidak memetik buah kurma tersebut.
“Perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai perbuatan musnah laku. Petugas penyelenggara landskap kawasan tersebut sahaja yang dibenarkan untuk memetik buah tersebut.

“Pohon kurma yang ditanam dilokasi terbabit juga dapat menyemai suasana ‘oasis’ disamping menghijaukan dan meneduhkan persekitaran,” tulisnya.
DBKL telah menanam 10 batang pokok kurma atau nama saintifiknya Phoenix Sylvestris pada Disember 2019 semasa pembinaan Projek Pengindahan River of Life di sekitar Masjid India dan salah satu daripadanya telah mengeluarkan buah.
Penanaman pokok kurma tersebut adalah simbolik kepada suasana yang terdapat di kawasan masjid – masjid di negara Asia Barat.
Selain kawasan Masjid India, terdapat 24 batang pokok kurma lagi telah ditanam di kawasan sekitar Masjid Jamek Kuala Lumpur. – WILAYAHKU