MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil mengalu-alukan hasrat Perikatan Nasional (PN) yang ingin mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang menyaksikannya kalah kepada Barisan Nasional (BN) pada 17 Ogos lalu.
Beliau berkata jika PN ingin mencabar kemenangan BN di PRK Nenggiri, gabungan itu harus mengikut proses undang-undang.
“Kalau tak boleh move on, ikut proses. Seperti presiden BERSATU (Muhyiddin Yassin) pun nampak belum move on,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai.
Sebelum ini dilaporkan, PN sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan kemenangan calon BN pada PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) Nenggiri.
Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, bukti itu membabitkan dakwaan BN merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu.
Sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, kekalahan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail pada PRK Dun Nenggiri kerana PN memilih untuk tidak mengamalkan politik rasuah, wang dan salah guna kuasa.
Menurut beliau, PN juga menolak untuk menyalahgunakan aset dan jentera Kerajaan Negeri Kelantan. – WILAYAHKU