Oleh ZULKIFLI SULONG
SEBAGAIMANA biasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mempunyai jadual yang amat padat minggu lalu. Beliau berkejar ke sana sini seolah-olah beliau tidak cukup masa untuk bersantai-santai.
Ada yang berkata, beliau terpaksa berbuat demikian kerana telah habis terlalu banyak masa secara sia-sia sebelum ini. Jadi untuk menebusnya kembali, beliau terpaksa berlari ke sana dan sini. Hatta di Rio De Jenairo, Brazil pun beliau terpaksa berlari.
Minggu lalu, Anwar memulakan perjalanannya ke China, bertemu dengan pemimpin utama negara kuasa ekonomi baru dunia itu di samping beberapa perkara penting yang lain.
Selepas itu, beliau ke Mesir, negara paling tua di dunia. Di Mesir, beliau bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi. Di samping itu, buat julung kalinya bagi pemimpin Malaysia, beliau memberikan syarahan di Universiti Al-Azhar kepada pelajar Malaysia dan pemimpin di universiti Islam tertua di dunia itu.
Selepas selesai di Mesir, beliau ke Arab Saudi bagi menyertai Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab dan Islam di Riyadh, Arab Saudi.
Di persidangan ini, Anwar menyeru masyarakat dunia untuk membina kesepakatan bagi menggantung atau menyingkirkan Israel daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Selepas di Saudi, Anwar terbang ke Peru, bagi membuat lawatan rasmi sulung beliau ke benua Amerika Selatan.
Di sana, Anwar menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-31 dan bertemu dengan Presiden Peru serta mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru.
Anwar juga menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC 2024 dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun dan New Zealand.
Ketibaan beliau menerusi pesawat khas di Pangkalan Tentera Udara Peru disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Republik Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham.
Manakala kerajaan Peru pula diwakili oleh Menteri Pengeluaran, Sergio González Guerrero; Ketua Protokol Kementerian Luar Peru, Luis Escalante Schuler serta Panglima Pangkalan Udara, Jeneral Julio Cesar Gutierrez.
Mengiringi beliau dalam pesawat sama dari Kaherah, Mesir adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Di Peru, Anwar menerima anugerah tertinggi negara itu yang biasanya diterima oleh pemimpin utama negara di dunia termasuk Maharaja Jepun dan Raja England.
Anwar menerima penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru yang bermaksud ‘Mentari Peru’, yang menjadikannya satu lagi pengiktirafan antarabangsa kepada Malaysia.
Anugerah berprestij ini adalah penghormatan sivil tertua di benua Amerika, yang diwujudkan pada 1821 selepas Peru mencapai kemerdekaan dari Sepanyol, menjadikannya simbol bersejarah dalam diplomasi antarabangsa.
Anugerah berprestij berkenaan disampaikan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra ketika pertemuan di Istana Kerajaan Peru.
Selepas selesai di Peru, Anwar ke Brazil pula, yang merupakan lawatan rasmi sulung PMX ke negara berkenaan.
Beliau berada di Rio de Janeiro dari 16 hingga 19 November sempena lawatan rasmi atas jemputan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva dan sebagai negara tetamu di forum antara kerajaan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Brazil dilaporkan teruja untuk bekerjasama dengan Malaysia berikutan reputasi Malaysia sebagai hab semikonduktor terkenal dunia dan ekosistemnya yang komprehensif serta kedudukan negara sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia.
“Walaupun kami dari negara yang jauh, potensinya amat besar. Brazil adalah salah satu tonggak ekonomi Amerika Latin dan ia menawarkan peluang yang sangat besar (untuk syarikat Malaysia) semasa pembinaan semula ekonomi negara ini,” kata Anwar semasa mesyuarat meja bulat dengan wakil industri semikonduktor dan pemimpin perniagaan di Rio de Janeiro.
Di Rio de Janeiro lah, PMX dilihat berlari bersama-sama dengan Tengku Zafrul, Menteri MITI dan para pegawai beliau. Ia berlaku di celah-celah kesibukan dan jadual padat beliau bermula di China sehinggalah di Brazil.
Anwar selamat tiba di tanah air pada Rabu 20 November selepas mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November.
Pesawat yang membawa Anwar tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada kira-kira 11.40 pagi.
Ketibaan Anwar dan delegasi disambut Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan para penyokong.
Lawatan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.
Perdana Menteri turut membawa pendirian Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin serta mengecam kekejaman Israel di persada dunia selain menekankan bahawa Putrajaya tidak pernah mengiktiraf kewujudan negara Israel secara diplomatik.
Ketika Anwar berlari ke sana sini untuk negara, apakah kita masih bergerak secara santai dan perlahan-lahan sahaja untuk negara?
Ketika ada yang mempermainkan beliau ketika tersebar video PMX berlari memasuki Dewan Rakyat di Parlimen, kini terbukti sebenarnya Anwar sememangnya berlari ke seluruh dunia bukan ke Dewan Rakyat sahaja.
SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.