PEJABAT Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) komited untuk memastikan bahawa semua proses berkaitan dengan tauliah mengajar dilaksanakan dengan telus, profesional dan berpandukan garis panduan yang ditetapkan.
Menerusi satu kenyataan, PMWP memaklumkan akan menjalankan siasatan dalaman dan menyeluruh bagi mendapatkan fakta dan maklumat lengkap berkenaan isu yang tular membabitkan pegawai Unit Istinbat PMWP dikatakan mengkritik seorang individu dalam sesi temuduga tauliah.
Katanya, ia turut melibatkan beberapa perkara berkaitan proses tauliah mengajar di Wilayah Persekutuan.
“Semua pihak yang terlibat akan dipanggil bagi memberi penjelasan dan maklum balas yang sewajarnya,” katanya pada Isnin.
PMWP menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan setiap keputusan yang diambil berhubung isu ini berdasarkan prinsip keadilan dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku atau tindakan tidak profesional
“Sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat unsur pelanggaran integriti atau salah laku, tindakan tegas akan diambil mengikut prosedur undang-undang dan tatacara yang ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, PMWP ingin menyeru semua pihak untuk menyalurkan maklumat atau adua berkaitan perkara ini melalui saluran rasmi PMWP.
“Sebarang kenyataan atau dakwaan di media sosial yang tidak berasas boleh mengeruhkan suasana dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
“Sebagai sebuah institusi yang memikul amanah besar dalam memelihara kesucian agama Islam, PMWP sentiasa berusaha untuk memastikan prinsip profesionalisme, amanah dan integriti ditegakkan dalam setiap aspek pentadbiran,” kata kenyataan itu. – WILAYAHKU