PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi memberi galakan dalam kerja-kerja sukarelawan yang dilaksanakan oleh badan itu.
Katanya, kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun untuk perkhidmatan ambulan kecemasan 999 dikembalikan dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kedua, geran persediaan menghadapi bencana sebanyak Rm1 juta diperuntukkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara atau NADMA.
“Seterusnya, kerajaan juga telah bersetuju memperuntukkan RM1 juta yang akan disalurkan bagi persiapan pembangunan keupayaan di Ibu Pejabat dan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan BSMM di Ibu Pejabat Kebangsaan Merah Malaysia, Jalan Wisma Putra, Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa.
Menurut Anwar, sebagai sebuah organisasi kemanusian, BSMM perlu terus memperomosikan masyarakat yang adil dan mempunyai nilai hormat, keyakinan serta ihsan.
“BSMM telah memberi khidmat cemerlang sejak penubuhannya pada 75 tahun yang lalu. Ia merupakan contoh cemerlang bagi sebuah organisasi dan ianya hanya boleh dicapai dengan dedikasi, komitmen yang tinggi serta semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat yang memerlukan.
“Saya kagum dengan semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh ahli-ahli BSMM dan ia sepatutnya dicontohi oleh semua lapisan masyarakat.
“Saya juga menghargai peranan BSMM yang sentiasa menyantuni projek pasca bencana dan pandemik serta sering menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan misalnya bakul makanan, program vaksinasi dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam ucapannya juga, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah dan memuji usaha yang dimainkan oleh Pengerusi Kebangsaan BSMM, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mempunyai komitmen luar biasa sehingga berjaya mengangkat nama baik BSMM sehingga hari ini. – WILAYAHKU