PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau menyampaikan beberapa pesanan demi kepentingan bersama semalam pada program penutup Madani Rakyat Zon Selatan 2024 di Dataran UTM.
Beliau turut mendekati segenap lapisan masyarakat dan antara pesanan diberikan adalah mengenai reformasi perkhidmatan awam serta pelarasan gaji.
“Reformasi perkhidmatan awam dan pelarasan gaji seperti diumum Jumaat lalu adalah berkat dari kebersamaan semua pihak, dari kerajaan sehinggalah rakyat di bawah termasuk golongan petani, pekebun kecil, penoreh getah dan nelayan.
“Rakyat dahagakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam,” katanya di Facebooknya.
Menurut Anwar pengumuman pelarasan gaji itu perlu disambut dengan memperbaiki kelemahan yang ada termasuk pemalas, cuai dan kehadiran lambat.
Beliau memberikan contoh jelas rakyat tidak seharusnya tunggu berjam-jam dalam mendapatkan perkhidmatan yang diberikan dan perlu melaporkan perkara tersebut untuk tindakan seterusnya.
Sementara itu, Anwar berkata beliau kemudian menyertai Sesi Forum dan Dialog: Setahun Pencapaian Ekonomi MADANI.
Perdana Menteri berkata dalam forum itu beliau berkongsi hala tuju kerajaan bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia ke paras lebih positif kelak.
Katanya, selepas forum tersebut, beliau kemudian melancarkan Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 2.0 selama setahun bagi tahun ini sehingga 2025.
“Skim itu bertujuan memberi perlindungan sosial kepada golongan miskin dan miskin tegar di negara ini.
“Sebelum pulang, saya singgah ke beberapa reruai yang disediakan selain bertegur sapa serta menyantuni pelbagai lapisan masyarakat yang hadir ke program ini,” katanya. – WILAYAHKU