PELBAGAI tuduhan tidak berasas membanjiri laman sosial mengatakan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menutup kegagalan pentadbiran dan kelemahan ekonomi negara dengan mengheret musuh-musuh politiknya ke muka pengadilan.
Tuduhan terhadap Anwar ini timbul susulan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan ke atas individu bergelar Tun baru-baru ini.
Tampil merungkai persoalan yang sengaja ditimbulkan oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan Anwar, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menegaskan pihak kerajaan tidak mencampuri urusan SPRM malah pihak tersebut bebas melakukan siasatan yang dirasakan wajar.
“Perdana Menteri telah beberapa kali menyatakan bahawa beliau tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada SPRM. Terserah kepada SPRM untuk ambil sebarang tindakan yang berlandaskan undang-undang dan dirasakan perlu serta wajar untuk diambil,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, beliau yang juga Menteri Komunikasi menafikan bahawa siasatan oleh SPRM ke atas ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bermotifkan dendam semata-mata.
“Saya tidak rasa ia sebagai isu politik atau dendam dan Perdana Menteri dah katakan beberapa kali tiada yang bersifat peribadi tentangnya. Jika ada sebarang perkara melibatkan harta, wang rakyat, maka ada hak untuk kerajaan teliti dan ia diguna pakai kepada semua pihak, bukan individu sahaja,” ujar beliau.
Sebelum ini, Anwar menyarankan masyarakat termasuk pemimpin di negara ini agar terus memberikan sokongan dalam penyiasatan melibatkan orang kaya termasuk individu bergelar Tun.
Walau bagaimanapun Anwar dilihat tidak melayan fitnah-fitnah yang dilemparkan kepada beliau dan sentiasa fokus dengan agendanya mereformasi ekonomi negara bermula dengan golongan kurang berkemampuan.
Malah, beliau sempat turun padang ke Mydin di Meru, Ipoh bagi melihat sendiri kesedaran dan impak Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan baru-baru ini.
SARA membantu menambah kuasa beli kepada mereka yang memerlukan bagi mendapatkan barang-barang asas dari rangkaian rakan runcit dengan lebih 500 kedai terlibat di seluruh negara.
Ini jelas menunjukkan PM sentiasa cakna dengan rakyat dan dalam masa yang sama mengharapkan sokongan rakyat agar terus bersatu padu membawa perubahan terutama aspek tatakelola. – WILAYAHKU