PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat tiba di Kaherah, Mesir bagi memulakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
Menerusi kemas kini terbaru di laman facebooknya, perdana menteri berkongsi beberapa foto sambutan ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.
Ketibaan Anwar disambut Perdana Menteri Mesir, Dr Mustafa Madbouly; Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian dan pegawai Malaysia di Kaherah.
“Alhamdulillah, saya dan delegasi Malaysia selamat tiba di Kaherah, Mesir bagi memulakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.
“Kunjungan ini akan membuka peluang dan lembaran kepada kami dalam membincangkan kemajuan hubungan Malaysia dan Mesir selain menerokai bentuk kerjasama baharu,” katanya.
Usaha berterusan itu kata Anwar akan terus dipergiat bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.
Dalam kunjung rasmi selama empat hari itu Anwar turut dijadualkan menyampaikan syarahan umum di Universiti Al-Azhar Al-Syarif selain bertemu pelajar dari Malaysia di lokasi sama.
Perdana menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelesterian Alam (NRES), Datuk Seri Huang Tiong Sii. – WILAYAHKU