Berita

PM Thailand adakan lawatan rasmi ke Malaysia

- Diterbit 16 Disember 2024 11:23 AM MYT

PERDANA Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hari ini bagi meneroka kerjasama baharu antara kedua-dua negara jiran ini.

Menurut Wisma Putra, ia atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini merupakan lawatan sulung Paetongtarn ke Malaysia sejak memegang tampuk kerajaan pada Ogos lalu.

“Beliau akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri.

“Kedua-dua pemimpin juga akan mempengerusikan Rundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-7 (7th Annual Consultation – AC),” katanya.

Wisma Putra menambah, semasa AC Ke-7, kedua-dua Perdana Menteri dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu serta bertukar-tukar pandangan terhadap isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Katanya, pada 6 Ogos 2024 yang lalu, Menteri Luar Negeri Malaysia dan Thailand mempengerusikan Mesyuarat Ke-15 Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Ke-6 Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.

Jelasnya, seusai AC Ke-7, kedua-dua pemimpin dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum
Persefahaman (MoU), iaitu MoU mengenai Kerjasama Kebudayaan, Seni dan Warisan; dan MoU
mengenai Pembangunan Industri Getah dan Kerjasama Ekonomi.

“Lawatan ini juga sebahagian daripada siri pertukaran lawatan di peringkat Perdana Menteri pada
tahun ini selepas Lawatan Kerja Perdana Menteri Malaysia dan Thailand ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Malaysia pada 3 Ogos 2024.

“Ia turut mencerminkan jalinan persahabatan yang erat dan mesra antara kedua-dua negara selaku jiran tetangga dan negara anggota ASEAN,” katanya.

Pada tahun lalu, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM113.16 bilion (AS$24.83 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (AS$20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (AS$20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas