PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone semasa majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan dan Majlis Penyerahan Kepengerusian ASEAN di Vientiane, Laos.
Menurut Wisma Putra, ia adalah penyerahan simbolik dan Malaysia akan memulakan peranan selaku Pengerusi ASEAN secara rasminya bermula 1 Januari 2025.
Majlis tersebut dihadiri oleh pemimpin-pemimpin dan wakil dari negara-negara Anggota ASEAN, serta Timor Leste sebagai Negara Pemerhati.
Turut hadir adalah menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan ASEAN dari kesemua negara anggota ASEAN.
“Semasa majlis tersebut, Perdana Menteri mengumumkan logo dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu Keterangkuman dan Kemampanan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Wisma Putra menambah, dalam ucapannya, Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia berbesar hati mengambil alih peranan selaku Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.
“Beliau juga menekankan bahawa Malaysia terus komited untuk memimpin ASEAN dalam memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Perdana Menteri menekankan bahawa tahun 2025 adalah amat signifikan memandangkan ia merupakan tahun ke-10 penubuhan rasmi Komuniti ASEAN,” katanya.
Jelas Wisma Putra, Perdana Menteri juga memaklumkan pada tahun hadapan di Kuala Lumpur, ASEAN akan memperakui Visi Komuniti ASEAN 2045 yang mana akan melakar hala tuju ASEAN bagi tempoh dua dekad ini.
Katanya, Anwar berkongsi visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, berpaksikan tema yang dipilih, dalam memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.
“Beliau menekankan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau melalui dialog dan kerjasama. Berpandukan kepada kepusatan ASEAN, beliau menegaskan bahawa Malaysia akan bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN dan rakan-rakan luarnya dalam usaha mengekalkan arkitektur serantau yang terbuka, terangkum dan berlandaskan peraturan,” katanya. – WILAYAHKU