PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov di Perdana Putra, Putrajaya semalam.
Perdana Menteri berkata pertemuan tersebut diadakan sempena dengan lawatan kerja selama dua hari Rustam Minnikhanov di Malaysia.
Menurut Anwar, beliau berbicara panjang seputar usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Rusia dengan dunia Islam, khususnya membabitkan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Perbincangan kami turut menyentuh penyertaan Malaysia ke dalam gabungan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
“Saya mempertegaskan komitmen Malaysia untuk menyertai gabungan ini, seperti mana yang telah dinyatakan kepada Rusia sebelum ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Tambah Anwar, kesempatan pertemuan itu juga digunakan untuk meneroka potensi memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam sektor halal, selain usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan. – WILAYAHKU