PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Seri Perdana, Putrajaya.
Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, tiba di Malaysia kelmarin bagi memulakan lawatan rasmi lima hari dari 17 Ogos hingga 21 Ogos.
Turut hadir, isteri Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah Pengiran Salleh Rahaman.
Menurut Anwar, kunjungan hormat bersama-sama delegasi kedua-dua negara itu memberikan isyarat penting bahawa hubungan erat serta kerjasama dua hala Malaysia dan Brunei berada di tingkat tertinggi.
Beliau berkata kerjasama dua negara itu akan terus diperkukuhkan lagi.
“Kami berbicara panjang terkait usaha meningkatkan kerjasama Malaysia-Brunei dalam pelbagai bidang, khususnya perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta hal ehwal sempadan,” katanya.
Menurut Anwar, perbincangan turut meneroka potensi mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai industri.
Beliau berkata ini termasuk teknologi digital dan latihan, selain ruang untuk bersama-sama memperkasa hal ehwal syariah serta Bahasa Melayu.
“Usai perbincangan, kami langsung makan tengah hari bersama-sama delegasi Malaysia dan Brunei.
“Saya turut menyajikan Putera Mahkota dan isteri dengan buah durian, di samping hidangan-hidangan lain,” katanya.
Anwar turut menzahirkan penghargaan atas perkenan Putera Mahkota Brunei dan isteri mengadakan kunjungan hormat dan lawatan rasmi ke Malaysia.
Katanya, ini sekali gus membuka ruang untuk membina persahabatan yang lebih utuh demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara. – WILAYAHKU