PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Duta Besar Republik Arab Mesir ke Malaysia, TYT Ragai Tawfik Said Nasr yang akan menamatkan perkhidmatan di Malaysia.
“Tengah hari tadi saya berbesar hati menerima kunjungan daripada TYT Ragai Tawfik Said Nasr, Duta Besar Republik Arab Mesir ke Malaysia yang akan menamatkan perkhidmatannya di Malaysia pada esok hari dan kembali ke Kaherah.
“Dalam pertemuan tersebut, beliau mengungkapkan betapa hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara sahabat telah menjadi semakin akrab di bawah pimpinan Kerajaan MADANI.
“Kerjasama ini terserlah dalam bidang ekonomi dan perdagangan, pendidikan seperti penubuhan Institut Bahasa Arab melalui kerjasama pintar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Al-Azhar di Kaherah, serta kerjasama kemanusiaan menerusi bantuan di Gaza untuk rakyat Palestin, di samping sektor pelancongan yang menunjukkan perkembangan positif di kedua-dua negara, ” ujar Anwar di laman Facebook.
Beliau turut berharap agar hubungan diplomatik dan persaudaraan Malaysia dan Mesir akan terus berkembang terutama dalam mendepani isu-isu global yang kompleks, menerusi pelbagai medium yang dinamik serta berhikmah. – WILAYAHKU