Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

PM tegas tiada istilah ‘tutup mata’ demi kepentingan

- Diterbit 7 Jun 2024 9:50 AM MYT

KECOH isu pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Kes ini masih dalam siasatan. Namun apa yang tidak sedap didengar apabila ada segelintir netizen yang melemparkan tuduhan seolah-olah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiam diri dan membenarkan isu tersebut hanya kerana Hannah Yeoh dari Parti DAP.

Tidak cukup itu, golongan yang tidak berpuas hati ini mula mempertikaikan ketegasan Anwar apabila seolah-olah membenarkan kontrak runding terus dilakukan suami Hannah Yeoh.

Namun tuduhan yang tidak berasas tersebut dibuktikan apabila Anwar sendiri telah memberi penjelasan bahawa tiada istilah tutup mata atau buat tidak tahu akan isu tersebut.

Faktanya, Anwar menyerahkan kuasa kepada pihak bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Yang itu kita serah kepada authorities (pihak berkuasa). Kalau ada laporan, it should be transparent in their investigations.

“Kalau ada laporan, ada siasatan dan patut ada penjelasan. Apa prosesnya? Patut dianggap kes biasa yang patut disiasat,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Global Forum Islamic Economic & Finance (GFIEF) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur KLCC, baru-baru ini.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility merupakan suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Berikutan itu, Hannah Yeoh mahu kebenaran dan bukti yang sahih daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek Transit Responsif Atas Permintaan (DRT).

Menurut beliau, siasatan melibatkan suaminya, Ramachandran Muniandy, sebagai pengasas bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) itu disambut baik dan tidak akan mengganggu proses siasatan.

“Sekarang siasatan telah bermula, saya mahu melihat kebenaran dan bukti yang mewajarkan dakwaan untuk keluar daripada siasatan ini.

“Oleh itu, tidak wajar untuk saya mengulas kerana ia boleh ditafsirkan sebagai gangguan terhadap siasatan yang sedang dijalankan.

“Sebenarnya atas sebab inilah saya tidak berkata apa-apa lebih awal kerana pada pandangan saya cara terbaik ke hadapan dalam menangani dakwaan tersebut ialah menyerahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk menyiasat,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram, baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas