PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap penekanan terhadap isu tata kelola dalam perkhidmatan awam serta amalan salah guna kuasa dan pembanterasan rasuah telah menunjukkan keberkesanaan sekali gus melonjakkan negara ke peringkat yang lebih tinggi.
Katanya, ini dibuktikan dengan pengiktirafan pemimpin-pemimpin luar negara yang kagum melihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menjalankan tugas tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.
“Saya maklumkan kepada Tan Sri Azam (Ketua Pesuruhjaya SPRM) bahawa Presiden Peru, Dina Boluarte yang mahu belajar daripada Malaysia. Begitu juga dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi yang turut mahu menghantar pagawai untuk belajar, jadi ini satu pengiktirafan,” katanya ketika berucap dalam Amanat Tahun Baru 2025 dan Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini.
Beliau turut menganggap bahawa isu tata kelola sebagai satu kejayaan pentadbirannya yang telah melepasi tempoh dua tahun kerana tiada skandal salah guna kuasa mahupun rasuah yang dibincangkan.
“Orang bercerita mengenai kes-kes yang lama, saya dalam dua tahun ini saya syukur kepada Allah kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu skandal besar yang pernah diungkapkan dalam tempoh dua tahun ini.
“Bagi saya ini adalah kejayaan lebih besar, kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah. Negara ini adalah negara hukum, dan kita harus ambil keputusan berdasarkan tata kelola yang baik dan MADANI ini menekankan soal nilai,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]