Berita

PM sudah ada calon isi kekosongan ditinggalkan Salahuddin Ayub

- Diterbit 24 November 2023 10:43 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sudah memutuskan calon bagi mengisi jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ujar Perdana Menteri, ia akan diumumkan secepat mungkin bagi menggantikan Arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Ditanya bila ia akan didedahkan, Anwar menjawab ia akan diumumkan sedikit masa lagi.

“Ada, ada (pengganti sudah ada),” jawabnya ringkas ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Anwar menafikan ramalan podcast Keluar Sekejap bahawa rombakan Kabinet akan dibuat pada Januari tahun depan.

Media sebelum ini turut membuat pelbagai spekulasi mengenai rombakan Kabinet malah turut mengaitkan beberapa nama besar dalam komponen Barisan Nasional (BN) untuk dilantik sebagai menteri termasuklah Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas