Berita

PM Singapura lawat Malaysia sempena Sesi Pemukiman Pemimpin

- Diterbit 5 Januari 2025 5:46 PM MYT

PERDANA Menteri Singapura, Lawrence Wong akan
mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada esok dan Selasa ini bersempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11.

Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Lawrence akan diiringi isterinya, Loo Tze Lui, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong serta beberapa menteri lain.

“Lawrence akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat delegasi Pemukiman Pemimpin bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Satu kenyataan akhbar bersama akan dikeluarkan
selepas pemukiman itu,” kata Wisma Putra.

Menurut Wisma Putra, semasa lawatan tersebut, kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang
berkepentingan bersama.

Katanya, kedua-dua pemimpin juga dijadualkan untuk menyaksikan
pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta enam Memorandum Persefahaman (MoU).

“Satu Surat Niat yang merangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan
bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.

“Sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura
menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang,” katanya.

Wisma Putra berkata kedua-dua negara kekal
sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah USD78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November
lalu.

Menurut Wisma Putra ini meningkat sebanyak 6.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

“Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya. – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas