PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju cadangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membawa isu kalimah Allah kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober.
Persetujuan itu disepakati selepas Sultan Sharafuddin mengadakan perbincangan dengan Anwar di Istana Bukit Kayangan di sini, pada Rabu.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menghadap dan menyembah taklimat berhubung dengan keputusan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan dalam kes Jill Ireland lawan Menteri Bagi Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
“Saya telah menghadap DYMM Sultan Selangor hari ini dan menyembah maklum kepada Baginda berhubung keputusan Kerajaan dalam kes Jill Ireland melawan Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia di Mahkamah Rayuan.
“Dalam sesi menghadap tersebut, saya telah menjelaskan pendirian kerajaan persekutuan yang menghormati undang-undang yang berkuatkuasa di negeri-negeri dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Ketua Agama Negeri dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat negeri serta peranan Majlis Raja-Raja dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam di peringkat Persekutuan.
“Selepas berbincang dengan DYMM Sultan Selangor, saya menghormati pandangan Baginda yang selari dengan keputusan Jemaah Menteri Mei lalu bahawa isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak lebih sesuai diperkemas dan diperjelaskan kepada MKI yang berperanan menasihati Majlis Raja-Raja,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Anwar turut menegaskan pendirian kerajaan persekutuan untuk memperaku dan menerima pakai dasar sedia ada yang menghadkan penggunaan kalimah Allah kepada orang Islam di Semenanjung Tanah Melayu serta kelonggaran bersyarat oleh orang bukan Islam di Sabah dan Sarawak.
“Kerajaan juga memberikan komitmen untuk memperkemas dasar sedia ada berdasarkan ketetapan Majlis Raja- Raja yang akan diangkat sebagai suatu dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia,” kata beliau.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI percaya pandangan MKI adalah penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di Malaysia.
Sebagai Pengerusi MKI, Baginda telah bersetuju membawa perkara tersebut untuk dibincangkan dalam majlis berkenaan pada Ogos ini sebelum ia diangkat untuk pertimbangan dan penelitian Majlis Raja-Raja pada bulan Oktober pula. – WILAYAHKU