Berita

PM seru rakyat jangan berhenti bicara, sedekah untuk Palestin

- Diterbit 5 Ogos 2024 12:19 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia untuk tidak berhenti bicara setiap hari dan membantu bersedekah untuk Palestin.

Beliau berkata demikian berikutan mahu Malaysia terletak dalam peta sejarah, negara yang konsisten bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“InsyaAllah dengan mandat rakyat Malaysia, saya sedaya upaya akan membela nasib mereka,” katanya semasa berucap dalam Himpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ribuan orang ramai menghadiri Himpunan Pembebasan Palestin malam ini untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin yang bermula pada kira-kira 6.30 petang tadi.

Sementara itu, Anwar ketika menyampaikan Pidato Kemuncak Himpunan Pembebasan Palestin berkata beliau berterima kasih kepada semua pihak yang hadir tanpa mengira politik dalam menyatakan solidariti.

Beliau berkata Malaysia tidak akan menyerah dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Kehadiran anda amat bermakna. Ini negara majoriti Melayu, tetapi ada wakil semua lapisan kaum dan agama.

“Kami berpegang pada prinsip keadilan dan kemanusiaan,” katanya.

Sebelum itu, himpunan itu dimulakan dengan pidato pembebasan Palestin oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Himpunan berakhir dengan persembahan Kumpulan Rabbani dan diikuti Doa Qunut Nazilah.

Himpunan Pembebasan Palestin diadakan bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas