PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetengahkan kepentingan kesepakatan serantau dalam menangani cabaran ekonomi global termasuk isu tarif Amerika Syarikat (AS), ketika Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN Ke-12 (AFMGM) di ibu negara minggu ini.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, mesyuarat yang berlangsung sehingga 10 April di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu menghimpunkan lebih 300 delegasi termasuk Menteri Kewangan, Gabenor Bank Pusat negara-negara ASEAN, institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta.
“Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan ASEAN esok (8 April) dan seterusnya menghadiri majlis penutup AFMGM pada Khamis (10 April),” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata Anwar akan memberi penekanan kepada kepentingan membentuk kerangka bersama dalam memperkukuh kestabilan dan ketahanan ekonomi serta perdagangan serantau.
“Isu tarif Amerika Syarikat akan dibawa sebagai agenda penting menerusi pendekatan kolektif ASEAN, susulan perbincangan terdahulu antara Perdana Menteri dan ketua-ketua negara ASEAN,” katanya.
Mengulas impak geoekonomi terkini, Tuanku Nashrul berkata kerajaan telah mengambil pendekatan menyeluruh berteraskan konsep ‘whole-of-nation’, yang melibatkan beberapa langkah strategik.
“Ia termasuklah pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan penubuhan pasukan petugas khas oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mendapatkan maklum balas langsung daripada industri.
“Selain itu, antara langkah yang diambil adalah penganjuran mesyuarat khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Menteri MITI, rundingan peringkat tertinggi bersama Amerika Syarikat; dan usaha memperluas serta mempelbagaikan pasaran eksport ke rantau dan blok ekonomi baharu, di samping meningkatkan penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.
“Langkah-langkah ini akan membantu memperkukuh daya tahan ekonomi negara, menstabilkan pasaran serta melindungi pekerjaan dan pelaburan rakyat,” katanya.
Tunku Nashrul berkata meskipun ekonomi global kini berdepan ketidaktentuan, Perdana Menteri menegaskan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan mampu menampung tekanan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Kerjasama menyeluruh antara semua sektor dan rakyat amat diperlukan bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara terus terjamin,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Madani akan terus mempergiat usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi, meneruskan agenda reformasi ekonomi dan industri serta memastikan perlindungan kepada pekerja dan komuniti perniagaan di Malaysia.-WILAYAHKU