Berita

PM serah sumbangan RM 80,000 kepada mangsa kebakaran Kampung Kedah

KAMIL Munim menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran
- Diterbit 14 Januari 2025 10:54 AM MYT

KESEMUA 16 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Kedah, Bedong, Kedah menerima bantuan tunai segera sebanyak RM80,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wang sumbangan berkenaan disampaikan setiausaha politik beliau, Kamil Munim.

Kamil yang diiringi Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Negeri Kedah turut meninjau ke lapangan bagi melihat kerosakan dialami penduduk dalam kejadian yang berlaku pada 5 Januari lalu.

“Setiap keluarga yang kebanyakannya nelayan menerima sumbangan sebanyak RM5,000, diharap sumbangan itu dapat meringankan sedikit beban mereka dan membantu untuk mencari penempatan sementara.

“Mereka yang terjejas turut menerima bantuan sebanyak RM132,000 dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Saya juga mendoakan agar bantuan ini dapat memberi sedikit kelegaan dan lekas memberi kekuatan kepada mereka untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian pada 5 Januari lalu, sederet rumah di Kampung Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) musnah dan turut mengakibatkan seorang lelaki melecur di bahagian kaki dan tangan ketika cuba menyelamatkan diri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas