PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraikan rakan sejawatnya dari Jepun, Shigeru Ishiba di Kompleks Perdana Putra.
Ishiba dan delegasi Jepun diberikan sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, beliau menghargai penghormatan yang diberikan Ishiba kerana memilih Malaysia sebagai negara pertama untuk mengadakan lawatan rasmi dan mesyuarat dua hala.
“Pagi ini meraikan tamu kenegaraan dari Jepun yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia.
” Ia adalah lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak menyandang jawatan Perdana Menteri Jepun pada Oktober tahun lalu.
“Ini menggambarkan keutuhan persahabatan dan kepentingan kerjasama Malaysia-Jepun,” ujar beliau.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin tersebut menghadiri mesyuarat terhad bersama beberapa pimpinan bagi membicarakan isu-isu strategik terkait kepentingan kedua-dua negara serta usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun yang kini di tahap perkongsian strategik komprehensif. – WILAYAHKU