PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaannya kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang tamat kontraknya bulan ini.
Beliau berkata sejak hari pertama memikul tugas, Zuki telah menjalankan khidmat secara profesional meskipun berpengalaman bertugas di bawah beberapa perdana menteri sebelum ini.
“Pandangan, nasihat dan cadangan yang beliau berikan ternyata konsisten untuk memastikan kecemerlangan perkhidmatan awam dan mengangkat darjat negara ke tingkat tertinggi.
“Pastinya saya akan mengenang bakti sosok ini yang tidak pernah mengeluh mahupun memberi alasan setiap kali saya membebankan beliau dan tugas berat dan sukar, sebaliknya sentiasa memberikan jawapan dan penyelesaian,” katanya semasa di dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.
Menurut Anwar, beliau dan rakan-rakan Jemaah Menteri bersyukur mempunyai barisan tonggak dalam perkhidmatan awam yang komited dan mencurahkan bakti dan keringat demi nusa dan bangsa.
Beliau berkata meskipun masih ada kelemahan dan ketirisan yang perlu diperbaiki, tidak dapat dinafikan penjawat awam telah memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi negara mencatat beberapa pencapaian membanggakan.
“(Ini) termasuk kemasukan puluhan pelabur dan pengukuhan ringgit sejak akhir-akhir ini.
“Sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi terima atas segala jasa dan pengorbanan Tan Sri Mohd Zuki dalam perkhidmatan awam.
“Mudah-mudahan kepimpinan beliau menjadi dorongan dan semangat buat kita terus menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata pengganti Zuki akan diumum dalam masa terdekat.
Zuki, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-15 pada 31 Disember 2019. Kontrak beliau kemudian disambung bagi tempoh dua tahun hingga 10 Ogos tahun ini. – WILAYAHKU