Berita

PM manfaatkan platform WEF ketengah isu-isu keutamaan ASEAN, Malaysia

- Diterbit 21 Januari 2025 10:57 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Sedunia (WEF) 2025 pada 21 dan 22 Januari di Davos, Switzerland.

Menurut Wisma Putra, beliau akan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tenegku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Jelasnya, bertemakan ‘Collaboration for the Intelligence Age’, mesyuarat tahunan tersebut menghimpunkan pemimpin-pemimpin global dan perniagaan bagi membincangkan cabaran-cabaran global utama.

Katanya, perbincangan akan bertumpu kepada lima keutamaan tematik iaitu ‘Industries in the Intelligent Age’; ‘Rebuilding Trust’; ‘Reimagining Growth’; ‘Investing in People’; dan ‘Safeguarding the Planet’.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Perdana Menteri akan memanfaatkan platform WEF bagi mengetengahkan isu-isu utama yang selari dengan keutamaan-keutamaan strategik ASEAN dan Malaysia.

“Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama pada Sesi Awam Peringkat Tinggi: ASEAN Plenari yang bertajuk ‘Even Stronger Together’ dan mengambil bahagian dalam satu perbincangan interaktif mengenai keutamaan-keutamaan ASEAN di bawah Kepengerusian Malaysia dan kepentingan rantau Asia Tenggara dalam pembentukan lanskap ekonomi global,” katanya dalam kenyataan.

Wisma Putra menambah, Perdana Menteri juga akan mengadakan sesi taklimat bersama pihak media antarabangsa bertajuk ‘Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness’ yang memfokuskan kepada ekonomi digital dan peluang transformatif di rantau ASEAN.

Katanya, Perdana Menteri akan mengambil bahagian dalam Dialog Strategi Negara, sesi yang disusun khas bersama pemimpin-pemimpin perniagaan dari syarikat-syarikat global.

“Antara pengisian yang akan dikongsikan Perdana Menteri adalah keutamaan dan inisiatif strategik Malaysia dalam bidang perdagangan dan pelaburan, selain meneroka peluang-peluang kerjasama.

“Beliau juga akan mengambil bahagian dalam Jamuan Tengahari Informal Gathering of World Economic Leaders (IGWEL) bersama ketua-ketua negara dan kerajaan lain, dan mengambil bahagian dalam sesi Dialog Eksklusif bersama Profesor Klaus Schwab, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif WEF,” katanya.

Selain itu jelas Wisma Putram, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawatnya dan pemimpin-pemimpin perniagaan terkemuka di sela-sela WEF 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas