PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri membuat tindakan susulan segera, berkaitan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai dan komitmen pelaburan yang dicapai pada lawatan ke Australia baru-baru ini.
Bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata arahan itu disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mempengerusikan mesyuarat tersebut hari ini.
“Perdana Menteri memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai beberapa tindakan susulan yang perlu diambil, lanjutan kepada siri MoU dan niat pelaburan. Ini telah disampaikan (oleh Anwar) dan menteri-menteri sedia membantu menyegerakan beberapa perkara,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Perdana Menteri juga memaklumkan siri perbincangan bersama ASEAN secara bilateral dalam lawatan itu, antaranya dengan Thailand untuk menarik lebih ramai pelancong dan fokus Malaysia ialah pada Langkawi.
Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing diminta untuk meneliti beberapa perkara termasuk isu kos makanan yang meningkat di Langkawi, yang perlu diberi penekanan. – BERNAMA