KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan sejumlah RM22 juta bagi menaiktaraf Terminal Feri Ro-Ro Labuan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di pulau itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu bertujuan meningkatkan kemudahan fasiliti di terminal itu merangkumi infrastruktur, jeti dan pendaratan feri.
“Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan sejumlah RM22 juta untuk tambah baik di terminal ini agar memastikan aliran trafik di terminal ini berjalan dengan lancar.
“Jalan penyelesaian terhadap isu kesesakan di terminal ini bukan dengan membina terminal yang baharu tetapi adalah mencari jalan penyelesaian secara menyeluruh,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan ke Terminal Feri Ro-Ro pada lawatan kerja rasmi ke Labuan, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Tambah beliau, pada waktu ini, pihaknya tidak melihat keperluan terhadap cadangan untuk memindahkan Terminal Feri Ro-Ro ke kawasa lain.
Beliau menegaskan perkhidmatan cekap daripada agensi penguatkuasa tempatan adalah penting dalam menyelesaikan isu kesesakan di terminal, dan bukannya bergantung semata-mata kepada infrastruktur baharu.
“Saya telah mengarahkan supaya naik taraf ini disegerakan. Selain itu, saya telah mengarahkan agensi penguatkuasa tempatan untuk meningkatkan kecekapan dan perkhidmatan mereka di terminal,” katanya. – WILAYAHKU