PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November ini sempena Ekspo Import Antarabangsa China (China International Import Expo – CIIE) Ke-7 di Shanghai.
Menurut Wisma Putra, ia atas jemputan Perdana Menteri republik itu, Li Qiang.
Jelasnya, tahun ini Malaysia telah diberi penghormatan sebagai Country of Honour di CIIE Ke-7.
Wisma Putra memberitahu, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
“Semasa di Shanghai, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala bersama Li Qiang bagi berbincang hubungan dua hala susulan perjumpaan mereka di Putrajaya pada 19 Jun lalu serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
CIIE merupakan inisiatif China yang menyediakan satu platform untuk negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) untuk mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke China.
Wisma Putra berkata, semasa majlis pembukaan CIIE Ke-7, Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Astaka Malaysia dan Astaka Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Malaysia – ACCCIM).
Katanya, Perdana Menteri turut mengadakan perjumpaan bersama syarikat perniagaan dan sesi meja bulat dengan kapten industri dari China.
Tambahnya, Perdana Menteri juga akan melawat Beijing pada 6 dan 7 November, di mana beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping.
“Beliau juga akan menyampaikan syarahan terbuka bertajuk Bridging Futures: Strengthening Malaysia-China Relations and ASEAN Centrality in a Shifting Global Order di Universiti Peking dan melawat Huawei Executive Briefing Centre,” katanya.
Tambah Wisma Putra, lawatan ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala yang kukuh sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China pada tahun ini.
Bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, China merupakan rakan perdagangan global Malaysia yang terbesar.
Pada tahun laku, jumlah perdagangan dengan Malaysia bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia.
Sehingga September lalu, Malaysia mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM355.15 bilion (AS$76.72 bilion).
Pada separuh tahun pertama 2024, sejumlah 15 projek pembuatan telah dilaksanakan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.2 bilion (AS$252.5 juta). – WILAYAHKU