PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan yang dijadual berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini di Vientiane, Laos.
Menurut Wisma Putra, Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Katanya, selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45, Perdana Menteri akan menghadiri sidang-sidang kemuncak antara ASEAN dan tujuh rakan dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea, Amerika Syarikat dan Kanada.
“Ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Selain itu, Perdana Menteri akan menghadiri Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, sesi-sesi sua muka antara pemimpin-pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly – AIPA), wakil-wakil belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council – ABAC),” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan akan memberi peluang bagi Malaysia berkongsi perspektif negara secara aktif dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Katanya, isu-isu itu antaranya usaha pembangunan komuniti ASEAN dan Visi Komuniti ASEAN 2045, keamanan dan kestabilan rantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baru dan baru muncul, peralihan tenaga, keterjaminan makanan dan proses ke arah keahlian penuh Timor-Leste dalam ASEAN, dan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan luar.
Malaysia juga katanya, akan menyatakan kedudukannya berkaitan isu Laut China Selatan dan perkembangan di Myanmar, Palestin serta Asia Barat.
“Penglibatan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap ASEAN, usahanya untuk meningkatkan kerjasama dan integrasi serantau serta mempromosi dan mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di dalam dan luar Asia Tenggara.
“Semasa majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025,” katanya. – WILAYAHKU