PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan pihak Meta Platforms Inc (Meta) yang terbaru menurunkan hantaran video dan ucapan takziah beliau di media sosialnya terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Beliau menerusi hantaran di laman Facebooknya menyifatkan tindakan Meta itu sebagai biadap dan menghina perjuangan rakyat Palestin.
“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta, usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel,” katanya.
Semalam, pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan pihak Meta yang sekali lagi menurunkan hantaran gambar perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar daripada aplikasi Instagram.
Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook semalam berkata tindakan itu ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.
Perdana Menteri pada 14 Mei lepas berkongsi gambar pertemuan bersama pemimpin Hamas termasuk Haniyeh di media sosial rasmi beliau, namun Meta bertindak menurunkan hantaran itu tidak lama kemudian.
Tindakan itu dikecam, sehingga Meta bertindak memuat naik semula hantaran berkenaan. –WILAYAHKU