Berita

PM ke luar negara lonjak ekonomi negara

MALAYSIA berjaya meraih komitmen pelaburan RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan di luar negara. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 Januari 2024 9:50 AM MYT

KECOH dalam media sosial menerusi hantaran video apabila segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mempertikaikan tindakan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seringkali ke luar negara.

Dakwa mereka, PM sentiasa sibuk berjalan-jalan sehingga mengabaikan rakyat dan tidak mengendahkan kesusahan mereka antaranya dengan kenaikan harga barang dan sebagainya.

Bagi Wilayahku, golongan ini merupakan mereka yang tidak matang dan hanya sekadar menangguk di air keruh hanya untuk konten media sosial semata-mata dalam erti kata lain hanya mengejar kemasyhuran terhadap isu yang dimuat naik di laman sosial.

Sudah semestinya tugas PM adalah untuk bertemu dengan pemimpin dunia dalam sesi kunjungan hormat lawatan kerja beliau ke negara luar. Dalam masa yang sama, beliau turut membawa masuk pelabur ke Malaysia sekali gus melonjakkan Malaysia ke dalam barisan ekonomi berpendapatan tinggi dunia.

Misalnya, lawatan kerja Anwar ke Jepun baru-baru ini berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM6.56 bilion dan ia disifatkan amat berjaya dan membanggakan.

Jelas Anwar, pertemuannya dengan pelbagai pihak di negara itu juga menunjukkan hubungan Malaysia-Jepun menyaksikan anjakan baharu.

“Saya tekankan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk rakan sejawat Fumio Kishida jelas menunjukkan bahawa hubungan Malaysia-Jepun kini menyaksikan anjakan baharu terutama daripada segi kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan teknologi,” kata Anwar menerusi Facebook.

Sewaktu menyantuni diaspora Malaysia di Tokyo dalam sesi santai minum petang semalam, Anwar menyentuh mengenai keperluan untuk mengubah minda dan mengelakkan permusuhan sehingga menjejaskan perpaduan.

“Tidak kira di mana rakyat Malaysia berada, permusuhan kaum dan agama perlu dihindari mahupun dinoktahkan bagi memperkukuh hubungan kita semua dalam membina sebuah negara maju,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas